Saturday, October 3, 2009

Lawanye Baju Diorang.......

Tiga dara pujaan



LEBARAN tahun ini cukup bermakna buat tiga bintang muda di persada seni tanah air, Lisa Surihani, 23, Diana Danielle,18, dan Juliana Evans, 20, kerana berpeluang meraikannya bersama keluarga tersayang.

Maklumlah, tiga bintang jelita berbakat besar ini beraya sebagai orang bujang dan masing-masing nampaknya tidak sabar untuk kembali ke pangkuan keluarga dan sanak-saudara yang dirindui saban tahun untuk sama-sama meraikan hari kemenangan umat Islam itu.

Sudah menjadi tradisi bagi Lisa atau nama sebenarnya Lisa Surihani Mohamed, 23, beraya bersama keluarganya di Ampang, Selangor, saban tahun.

Diana atau nama sebenarnya, Diana Danielle Danny Beeson, 18, yang hangat digosipkan dengan pelakon Farid Kamil pula beraya bersama ibu dan adiknya, Halley, setahun (anak angkat), di Bukit Merah, Perak.

Juliana atau nama sebenarnya, Juliana Sophie Johari Evans, 20, yang hangat bercinta dengan anggota kumpulan Bunkface, Sam pula beraya bersama keluarganya di Bagan Datoh, Perak.

Pada sesi fotografi khas Aidilfitri yang yang diatur Rap di Hotel One World, Bandar Utama, tiga bintang meningkat naik yang berkawan baik ini turut berkongsi cerita menarik ketika beraya untuk tatapan pembaca setia Harian Metro (HM), sekali gus perkembangan terkini kerjaya seni masing-masing.



Lisa fokus pada kerjaya seni

BAKAT lakonan bintang filem I'M Not Single dan Jangan Pandang Belakang Congkak, Lisa Surihani sudah pun diiktiraf apabila mengungguli trofi Pelakon Harapan Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-21 (FFM21).

Malah, kata Lisa yang sudah berkecimpung selama tiga tahun dalam bidang seni berkata, sampai hari ini, tawaran berlakon tidak pernah putus diterimanya sejak dia mula berkecimpung dalam bidang seni pada 2007.

"Bukannya saya tamak untuk merebut semua tawaran yang datang, sebaliknya setiap watak ditawarkan itu karakternya berbeza.

"Terbaru, saya baru selesai penggambaran filem Zoo arahan Azhari Zain (Zack) yang berakhir pada minggu ketiga Ramadan lalu. Selain itu, saya dapat tawaran berlakon drama bersiri selepas raya nanti tapi masih belum diputuskan lagi," katanya.

Antara filem lakonan Lisa tahun ini ialah Rempit V3 bergandingan dengan Farid Kamil selaku pengarah filem itu.

Selain itu, dia turut berlakon dalam filem Lagenda Budak Setan arahan Sharad Sharan yang dijangka menjengah pawagam tahun depan serta filem Kapoww arahan Azizi Chunk Adnan.

Telefilem lakonannya pula ialah Ponti Anak Remaja, Mataku Nampak Hantu dan drama bersiri Tiga Janda yang sudah ditayangkan di saluran Astro.

Seperti tahun sebelumnya, Lisa berkata, dia beraya bersama keluarganya di Ampang. Namun, raya tahun ini tidak semeriah dulu kerana Lisa beraya tanpa bapanya, Allahyarham Mohamed Mahbob yang meninggal dunia tahun lalu.

"Saya hanya sempat menempah dua pasang baju raya dan lima pasang lagi saya beli baju raya yang sudah siap dijual.

"Juadah raya kegemaran pada pagi raya ialah lemang dan rendang. Dari segi kuih-muih pula ialah seri muka, biskut dam, cornflakes dan biskut keju yang dibuat mak cik," katanya.

Ditanya mengenai gosip cinta pelakon Farid Kamil dan Diana yang heboh diperkatakan ketika ini, Lisa berkata, jika benarlah mereka bercinta, dia tumpang gembira dengan kebahagiaan yang dikecapi dua kawan baiknya itu.

"Saya dan Farid hanya kawan baik dan kami tidak pernah bercinta. Dia juga bukan bekas teman lelaki saya seperti dihebohkan orang. Setakat ini, saya masih belum mempunyai teman istimewa selepas putus cinta kali pertama dulu. Pada masa sama, saya juga belum bersedia ke arah itu kerana fokus saya pada kerjaya seni dan keluarga," katanya.


Diana bersedia pikul watak Natrah

SEPERTI Lisa, tawaran berlakon juga mencurah-curah buat pelakon berdarah kacukan Melayu-Amerika, Diana Danielle.

Diana berkata, dia terbabit dengan penggambaran telefilem Maya untuk RTM yang juga ditayangkan selepas raya nanti.

"Selain itu, saya juga ditawarkan beraksi dalam teater Natrah yang dijangka dipentaskan di Istana Budaya pada Oktober nanti.

"Secara peribadi, saya menyukai watak natrah dan isu bangsa yang nak diangkat dalam filem ini selaras dengan Kempen 1Malaysia yang diseru kerajaan. Memang watak itu mencabar tapi saya sudah bersedia memikul tanggung-jawab berat itu," katanya.

Antara telefilem lakonannya tahun ini ialah Gondorovo yang juga untuk tayangan pada hari raya.

Bagaimanapun, penuntut jurusan Bio Sains di Nottingham University, Semenyih, Selangor ini terpaksa bijak membahagikan masa antara pelajaran dan kerjaya seni diceburinya.

"Program ijazah membabitkan tempoh selama tiga tahun di Malaysia dan setahun lagi di United Kingdom. Saya juga mengutamakan pelajaran dan hanya berlakon selepas habis kelas atau pada masa cuti semester," katanya.

Duta produk Bata dan Innershine ini berkata, ini juga tahun keempatnya beraya sebagai artis.

"Seperti tahun sebelumnya, saya, ibu dan adik, Halley, beraya selama seminggu di kampung halaman yang juga saudara sebelah ibu di Bukit Merah, Perak.

"Juadah pagi raya kegemaran saya ialah lemang, rendang dan Ayam Percik. Selain itu, Asam Laksa dan Kuih Badak Berendam," katanya. Diminta komen mengenai sejauh mana hubungannya dengan Farid, Diana berkata, dia belum bersedia bercerita kisah peribadinya itu dengan peminat.


Juliana pernah cedera main mercun

STATUSNYA sebagai penuntut tahun dua, Ijazah Sarjana Muda, Komunikasi Massa di Sunway College menyebabkan Juliana perlu bijak membahagikan masa antara kerjaya seni dan pelajarannya.

Apa yang penting, kata Juliana yang menempa nama menerusi program Remaja (TV3) ini, dia perlu memastikan pelajaran dan kerjaya seninya bergerak seiringan.

"Dari segi kerjaya seni, saya baru selesai penggambaran filem Adik Manja Returns. Terbaru, saya menjadi hos Pencarian Gadis Melayu musim kedua yang membabitkan sebanyak 13 episod yang masih dalam penggambaran," katanya.

Antara drama lakonan Juliana tahun ini ialah Warkah Terakhir untuk Astro Citra dan drama bersiri Ghost 2. Selain itu, dia juga menjadi hos program Aksi Gerek untuk TV Singapura dan saluran RTM tahun lalu.

Gadis kacukan Melayu-Inggeris yang hangat bercinta dengan anggota kumpulan Bunkface, Sam ini juga akan beraya ke kampung halamannya di Bagan Datoh, Perak.

"Saya dan Sam baru beberapa bulan berkawan. Kampung saya di Bagan Datoh, Perak dan Sam pula dari Klang, Selangor. Jika tiada aral, kami juga merancang untuk beraya bersama tahun ini," katanya.

Tidak ketinggalan, anak bongsu dari tiga beradik ini berkongsi kenangan yang sukar dilupakan ketika beraya sebelum ini.

"Ketika menyambut raya beberapa tahun lalu, jari tangan saya terpaksa dijahit kerana terkena balang kuih yang pecah. Pada raya tahun lalu pula, sekali lagi saya cedera kerana mercun meletup di tangan. Justeru, saya berharap kejadian tidak diingini seperti itu tidak berulang pada sambutan raya kali ini," katanya.

0 comments:

Post a Comment